JiwaDamai (inner peace) dan tenang terlalu penting dalam hidup. Ianya suatu yang didambakan oleh setiap orang tetapi terlalu sukar untuk dikecapi. Namun kita BOLEH membina jiwadamai... sesetengah dari kita lebih mudah dan sesetengah lagi agak payah.
Apa yang kita faham tentang jiwadamai? Ia adalah pengawalan dan disiplin diri serta kebolehan menepis gangguan luar seperti emosi, reaksi, dan tindakbalas. Ia membolehkan akal bertindak mengasingkan dunia luar agar tidak mempengaruhi dunia dalaman kita. Bayangkan selama ini, berapa kali kita dilanyak emosi, hilang sabar, marah, dan dendam? Dan berapi kali pula kita menyesal atas tindakan dan pertimbangan kita?
Pernah tak kita menjerit kepada anak-anak, suami atau isteri, rakan sekerja, atau pekerja bawahan kita? Pernah tak rasa geram kepada mereka? Suka tak kita berada di dalam situasi begini? Kenapa kita biarkan tekanan kerja, suratkhabar yang kita baca, tabloid, dan politik, mengganggu perasaan dan fikiran? Adakah obsessi dunia luar terlalu kuat sehingga kita gagal memilih apa yang kita lebih suka. Sekiranya ini berlaku, terbukti jelas kita sudah jauh dari jiwadamai...
Tanpa jiwadamai, perasaan mula memberontak, tak dapat mengawal emosi, kurang pertimbangan, banyak membazir masa dengan memikirlan solusi yang bukan-bukan. Jadi apakah ubatnya?
Bila bangun dari tidur di waktu pagi, elakkan dari memikirkan tentang bebanan dan kesukaran kerja yang menanti, sebaliknya SENYUM dan katakan pada diri "Alhamdulillah, aku diberi peluang sehari lagi insyaAllah, hari ini adalah hari yang lebih baik dan lebih indah.." Katakan juga "Allah tidak menilai hasil tetapi usaha..."dan katakan lagi "aku akan melakukan yang terbaik!", sisipkan dalam fikiran dan mainkan berulang-ulang kali.
Bermula detik bangun tidur sampai ke waktu masuk tidur semula kekalkan wawasan ini didalam hati. Ini tidak bermaksud kita harus menjadi tidak sensitif kepada persekitaran, tetapi kita hanya meletakkan sempadan agar gangguan dunia luar tidak menawan dunia dalaman.
Bila seseorang memberitahu sesuatu yang anda tak suka dengar, elakkan dari berkecil hati, marah, cuba kawal perasaan dengan menangguhkan reaksi anda. Ini bukan pula bermakna menyimpan dendam kesumat, atau membiarkan perasaan marah menggelegak di dalam (kerana itu juga tidak baik), tetapi cuba melihat dengan perspektif yang lebih luas. Penting sangatkah apa yang dikhabarkan itu? Mengapa perkataan itu sangat mengganggu perasaan? Mungkinkah ada kebenaran? Mungkin juga ada baiknya kalau disimpan dulu jawapan, marah, dan dendam supaya boleh diolah kemudian menjadi kritikan yang membina sahsiah insan!
Ingatlah, setiap lembah yang dituruni, akan ada pendakian kembali, yang akan ada jalan keluar yang pasti! Setiap kejatuhan tentu ada kebangkitan! Seperti malam disusuri siang.. Ketetapan alam adalah lumrah kehidupan. Dengan memahami konsep ini, ianya mungkin boleh membantu menghidupkan jiwadamai..
Kebolehan mengenalpasti dugaan dan cubaan dari Tuhan semesta alam adalah kunci kehidupan dan kesyukuran.. dan akhirnya menumbuh cambahkan jiwadamai.
No comments:
Post a Comment